Tuesday, June 12, 2012

Restu Ibu Bapa, Pra-syarat sebuah kejayaan


Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu,
dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
[al-Isra’ 17:24]


Mak dan Abah menjejakkan kaki pertama kali di Bandara Soekarno-Hatta, Jakarta. Setelah hampir 5 tahun saya berulang alik ke Indonesia atas urusan dakwah dan bisnes, akhirnya saya berpeluang membawa mereka melihat negara orang. Semoga terhitung sebagai amal yang soleh.

  1. Keredhaan Allah terletak pada redha ibu bapa
Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 
Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa. ( Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 )

Makanya, sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa, penuhi permintaan mereka, jauhkanlah mereka dari kerisauan, hormati sahabat mereka insyaAllah kita akan berjaya dunia akhirat.

   2.  Doa ibu bapa sangat mustajab

“ Tiga bentuk doa yang dimustajabkan Allah , doa ibu bapa terhadap anak , doa orang yang berpuasa dan doa orang bermusafir .” (HR Al-Baihaqi)

Oleh itu, selalu berpesan kepada kedua ibu bapa kita agar selalu mendoakan kejayaan kita, dan lebih baik jika lebih spesifik kita meminta doa. Contohnya, "mak, tolong doakan saya supaya projek ini berjalan lancar dan mendapat berkat dari Allah swt"


Saya dan Mak Abah di atas Puncak, Bogor. Mak dan Abah yang sering uzur seolah olah sihat sepanjang kembara kami ke Jakarta-Puncak-Bandung. Alhamdulillah  :)

   3. Derhaka kepada Ibu Bapa akan dibalas Allah swt di dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: 
“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sekiranya bisnes anda tidak pernah menjadi atau sering ditimpa masalah 'kebocoran wang', cuba cek mungkin ibu bapa anda ada terkecil hati dengan perbuatan anda.


Makan masakan Padang. Abah's favourite dish. Seronok tengok Abah makan banyak :)


Kepada Mak dan Abah, izinkan anak Mak dan Abah yang paling nakal ini membalas jasa Mak dan Abah. Terima kasih atas segala pengorbanan yang Mak dan Abah lakukan sepanjang membesarkan saya. Saya sedar, bakti terbesar yang boleh saya berikan adalah menjadi insan yang taat beragama. Doakan saya berjaya dunia dan akhirat. Sayang Mak dan Abah :)

Wednesday, May 16, 2012

Sebuah Perjalanan

Memories remains....

26 Mac 2009 - Mendaftar Humaira Bookstore Enterprise dengan SSM dan melantik Fakrur Radzi menjadi rakan kongsi.

Jun 2009 - Menyewa rumah di Taman Universiti Seri Iskandar, Perak sebagai pusat operasi syarikat.

Ogos 2009 - Berpindah ke Taman Tenaga, Kajang. Rumah 3 tingkat. Tingkat ke dua menjadi office. Bawah rumah sebagai store. Tingkat ke tiga untuk keluarga saya.

Nov 2010 - Bawah rumah diubah suai menjadi office dan store.

 Proses mengubah siap ruang bawah rumah untuk dijadikan pejabat.

 Memasang dinding office.

Sudah siap!!

Fakrur sedang bekerja.

Jan 2011 - Membeli Van Hiace untuk kegunaan pejabat.

Van yang diidamkan setelah melihat rakan niaga di booth Pesta Konvo UKM menggunakannya untuk mengangkut baju jualan.

Nov 2011 - Menyewa shop lot di hadapan rumah bagi menggantikan pejabat bawah rumah.

 Meja ping pong sebagai aktiviti riadah di office baru.

Fakrur bersama Azlin, Manager kami yang baru...

May 2012 - Menyewa bangunan 3 tingkat untuk kegunaan store, pejabat dan dewan latihan dan solat.

Membasuh office sebelum stok pertama masuk ke gudang.

Sungguh, ia adalah sebuah perjalanan yang sangat menyeronokkan :)

Thursday, May 10, 2012

Dinamika Sebuah Perniagaan : Satu Pengalaman.

Dinamika sebuah perniagaan.

Perniagaan adalah satu bidang yang cukup mencabar. Setiap hari jumlah persaingan yang akan kita hadapi akan sentiasa bertambah tanpa dapat kita menghalangnya. Setiap pesaing kita memiliki kekurangan dan kelebihan mereka sendiri. Sekiranya perniagaan kita tidak mempunyai Dinamikanya yang tersendiri, tidak bergerak ke hadapan, tidak berkembang, maka perniagaan kita tidak akan punya jangka hayat yang lama.

Saya memulakan perniagaan dengan mengimport buku buku agama dari Indonesia dan dijual kepada rakan rakan yang berhampiran dengan saya. Namun saya sedar bahawa pasaran rakan rakan sangatlah terhad dan tidak mungkin mereka akan membeli buku yang sama dan tidak mungkin juga saya dapat meramaikan rakan rakan dalam masa yang singkat. Akhirnya saya memasuki pasaran umum dengan menjual di blog. Perniagaan berkembang sedikit.

Saya juga sedar bahawa pasaran buku Indonesia tidaklah besar oleh kerana faktor kekangan bahasa dan saya perlu beralih kepada  buku buku terbitan Malaysia. Namun buku buku Malaysia memiliki margin keuntungan hanyalah sebesar 40% berbanding dengan buku dari Indonesia yang memiliki margin keuntungan sehingga 150%. Jadi saya harus meningkatkan volume jualan dengan tidak hanya menjual secara online namun menjual juga secara offline. Saya membuka booth di pelbagai event di pelbagai kesempatan yang ada. Hasilnya cukup memberangsangkan.

Setelah beberapa ketika, saya sedar jumlah pesaing saya di bidang jualan runcit semakin ramai. Saya memilih untuk menjadi distributor kepada peruncit peruncit yang sedia ada. Saya memilih beberapa judul yang saya fikirkan boleh 'best seller' dan membekalkannya ke seluruh Malaysia dan Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Nama nama besar di bidang distributor buku adalah seperti Erfan Ghani, Fajar Pakeer, Crescent News, Tajrid, Berlian, Telaga Biru dan pelbagai lagi yang memiliki pengalaman berpuluh tahun dan sudah memiliki jaringan perniagaan yang sangat luas. Saya sebagai pemain baru amat sukar untuk memecahkan tembok jaringan perniagaan yang sudah mereka miliki. Akhirnya saya beralih kepada pasaran baru iaitu perniagaan jualan langsung. Saya membekalkan buku kepada syarikat jualan langsung dan alhamdulillah pulangannya sangat lumayan.

Namun, buku yang saya edar turut diedarkan oleh pengedar lain, terkadang mereka merendahkan harga mereka semata mata untuk mematikan persaingan terutama bagi pengedar yang memiliki modal yang kecil. Tidak dapat tidak, saya harus menceburi bidang penerbitan dan cita cita itu tercapai pada tahun ini (2012). Sekali lagi saya sedar, di bidang penerbitan sudah ada nama nama besar seperti PTS, Telaga Biru, Al-Hidayah, Darul Nukman dan pelbagai lagi syarikat penerbitan yang sedang meningkat naik. Akhirnya saya memilih untuk memasuki bidang penerbitan eksklusif, iaitu penerbitan bahan berkualiti tinggi dengan kualiti content yang tinggi. Penerbitan saya mungkin hanya menerbitkan kurang 10 buku setahun tetapi insyaAllah setiap satu buku akan mencecah jualan minima 30,000 naskah setahun.

Dan alhamdulillah, setiap peristiwa di atas berlaku dalam tempoh hanya 3 tahun lebih sahaja. Saya memiliki beberapa teman yang berniaga lebih awal pada saya namun masih mengekalkan method jualan yang sama dan lebih musibah, mereka juga tidak memiliki Unique Sales Preposition (USP) yang membolehkan pelanggan mengenal mereka. Perniagaan mereka kini terumbang ambing dan sekiranya tiada tindakan drastik yang dilakukan, perniagaan mereka pasti tamat.

Saya berharap perkongsian ringkas saya ini bermanfaat bagi mereka yang sudah memiliki perniagaan dan yang baru sahaja mahu memulakan perniagaan dan kepada sesiapa sahaja. Namun kisah di atas perlu difahami bahawa setiap fasa yang saya lalui, saya fokus pada fasa tersebut sebelum berangkat ke fasa yang lebih tinggi. Jangan tidak fokus. Nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran.

Wallahua'lam.

Friday, March 2, 2012

Bagaimana HBE bermula?

Saya banyak menerima soalan seperti ini. Mereka mahu tahu bagaimana syarikat saya boleh bermula. Saya simpulkan dengan 3 keywords seperti berikut:

1) Kekuatan emosi
2) Kekuatan tindakan
3) Kekuatan tawakkal


Kekuatan emosi

Do or die. Itu kesimpulannya. Ketika saya memulakan perniagaan ini, saya menanggung isteri dan anak anak. Dan sebagai sebuah pasangan muda yang masih belum habis kuliah dan biasiswanya digantung, berniaga adalah satu satunya cara saya mencari sumber pendapatan. Ketika ini saya tidak boleh memilih kerja atau bersikap 'cerewet'. Saya lakukannya dengan penuh semangat dan tanggungjawab terhadap isteri dan anak anak. Sekiranya anda memiliki kekuatan emosi sama atau lebih dari saya, anda sudah boleh memulakan perniagaan. :)

Kekuatan tindakan

Saya tidak boleh berfikir terlalu lama kerana setiap detik saat yang berlalu, pasti ada perut perut yang lapar untuk diisi. Saya dan isteri mungkin boleh bertahan, namun anak anak saya tidak. Setiap idea yang terlintas di fikiran saya, saya terus laksanakan dengan berpegang kepada konsep 'Try and Adjust'. Akhirnya saya banyak belajar dari setiap tindakan saya.Jangan terlalu banyak berfikir, ia hanya akan menjadikan anda pengecut. Sesetengah orang beralasan bahawa perlu ada ilmu dahulu, bro, kan pengalaman itu sebaik baik guru??

Kekuatan Tawakkal

Tanpa sebarang pengalaman, saya bersama teman membeli tiket feri ke Indonesia untuk membeli buku. Hanya berbekalkan kenalan di internet, kami membuat temujanji. Saya pun tidak pasti adakah beliau jujur atau tidak. Saya hanya bertawakal kepada Allah swt. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan Allah swt. Transaksi pertama berjaya dan ia terus membawa kepada kejayaan transaksi transaksi berikutnya. Owh, tidak lupa juga. Tawakkal itu juga bererti kita berani gagal.

Alhamdulillah, setelah hampir 5 tahun, HBE sudah mula dikenali dan sudah diletakkan sebaris dengan penerbit terkemuka yang lain walhal secara jujurnya ianya masih belum layak. Siapa tahu sebuah perniagaan kampungan dahulu pada awalnya boleh mencapai tahap ini. Ia bermula dengan 3 keywords di atas. Selamat beramal. Jangan sesekali takut untuk mencuba :)

Sunday, January 9, 2011

Kekuatan Minda

oleh: Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

Apakah anda bersetuju jika saya katakan terdapat banyak perkara ajaib tersembunyi di dalam minda?

1) Tenaga ajaib tersembunyi dalam minda

Percaya atau tidak apabila anda sentiasa memikirkan tentang kenyang, anda tidak akan lapar. Buktinya apabila anda menjalani ibadah puasa, anda tidak berfikir pun tentang makan sepanjang hari, tetapi anda tetap mampu melakukan aktiviti-aktiviti kehidupan sebagaimana biasa. Padahal pada hari-hari biasa, awal pagi lagi anda sudah terasa hendak makan.

Demikianlah apabila anda tidak lansung memikirkan tentang penat, anda akan cergas dan bertenaga sepanjang hari.

Sebaliknya apabila anda mula berkata ”Aku malaslah hari ini”, “Aku boringla hari ni”, anda akan benar-benar malas dan boring. Maka jika anda ingin cemerlang dan berjaya, bijak-bijaklah berhubung dengan imaginasi. Imaginasi boleh menjadikan anda apa sahaja. Daripada sini kita boleh simpulkan, ”Kita sendirilah yang meminta setiap apa yang berlaku pada diri kita.”

2) Berkomunikasi dengan minda ke minda

Apabila anda mengingat seseorang, dan jika ingatan anda itu jujur, ikhlas dan bertanggungjawab, dan tiada sebarang gangguan, anda sebenarnya telah pun menghantar gelombang minda kepada orang itu. Anda mungkin mendapat tindak balas yang menakjubkan.

Jika ingatan anda terhadapnya adalah yang baik-baik, dalam masa yang sama insyaALLAH dia akan mengingat yang baik-baik juga tentang anda. Maka kerana itulah sesekali pada saat-saat tertentu anda terkenangkan seseorang yang telah lama anda tidak temui secara tiba-tiba. Barangkali pada saat itu orang berkenaan sedang memikirkan tentang anda dan gelombang mindanya telah mengembara dan akhirnya sampai kepada anda.

Gelombang yang lemah akan tersasar atau tidak sampai ke matlamat ataupun ghaib begitu sahaja ditelan gelombang-gelombang yang lebih kuat yang sentiasa bersimpang siur. Gelombang minda akan lebih hebat kesannya terhadap mereka yang mempunya jalinan emosi ataupun pertalian darah yang rapat misalnya suami isteri, ibu dan anak, adik beradik kembar dan rakan seiras.

3) Daya magnet dalam fikiran beremosi

Tahukah anda apabila anda membenci seseorang, anda sebenarnya telah pun menarik kebencian orang itu terhadap anda. Fikiran yang beremosi ada daya tarikan bagaikan magnet yang akan menarik sebarang pemikiran yang sealiran.

Sebagaimana gelombang minda tadi, kebencian akan terhasil dalam bentuk gelombang-gelombang negatif yang mengembara dan akhirnya sampai kepada orang yang anda benci itu. Oleh itu, seseorang yang menjadikan imaginasinya sebagai salah satu laluan untuk kejayaan tidak boleh berfikiran negatif. Dia kena berfikiran positif supaya pemikiran yang sama akan dipulangkan kepadanya.

4) Mengawal minda untuk lebih berjaya

Tiada siapapun yang boleh membuatkan anda marah jka anda sendiri tidak ingin marah. Soal emosi yang tersentuh adalah perasaan yang boleh dikawal jika anda mahu mengawalnya. Jika anda memang tidak mahu marah anda tidak akan marah. Orang boleh menjadi terlalu sedih kerana dia memberi laluan kepada dirinya untuk berasa sedih. Kesedihan yang melampau-lampau pula bermula daripada emosi yang ditarik-tarik, diiya-iyakan, diransang-ransang dan disungguh-sungguhkan, ibarat api yang dicurahkan petrol ke atasnya. Api akan menyambar hebat padahal jika dibiarkan sahaja, lambat laun ia akan padam sendiri. Kejayaan pertama orang yang berjaya ialah dapat mengawal emosinya.

5) Dua pemikiran dalam masa yang sama

Anda mungkin pernah melihat seseorang yang beremosi pada satu masa tetapi pada masa yang sama bercakap seolah-olah tidak menghadapi sebarang masalah dan ingat, orang ini bukanlah seorang pelakon. Seorang ayah memarahi anaknya dengan kemarahan yang beriya-iya tetapi dalam masa yang sama dia menghadiahkan anda senyuman dan mula bercakap lembut dengan anda. Itu tanda permulaan bagi seorang yang dapat mengawal emosinya. Seorang yang ingin menggapai kejayaan melalui imaginasi perlu lebih pandai mengawal emosi.

6) Minda teransang melalui solat dan doa

Solat itu doa dan doa itu perlu dalam proses kehidupan seseorang manusia. Manusia perlu berdoa untuk menjalinkan hubungan yag erat antara dirinya dengan alam ghaib dan yang terpenting dengan PENCIPTA-nya. Realitinya orang yang sentiasa berdoa dan sentiasa menunaikan solat tepat pada waktunya atau lebih baik pada awal waktu akan dapat membentuk dan meningkatkan kekuatan minda melalui fikiran yang lebih terfokus.

Seorang yang berjaya adalah seorang yang tenang dan ketenangan mutlak ataupun kemuncak bagi ketenangan adalah solat. Hakikat ketenangan tidak ada dalam diri seseorang yang ingkar solat atau tidak pernah berdoa.

Saturday, December 18, 2010

5 Langkah Membina Minda Jutawan

Oleh: Irfan Khairi

Kall, pernahkah anda fikirkankan, apakah sebenarnya di dalam
minda seorang jutawan? Apakah persediaan minda yng dilakukan untuk
menjadi seorang yang berjaya?

Pernahkah anda dengar cerita tentang seseorang yang tiba-tiba
mendapat durian runtuh (dari segi kewangan, bukan durian!), tetapi,
tidak lama kemudian segala yang dimiliki hilang entah ke mana?

Ini adalah kerana minda seseorang itu belum bersedia menerima
situasi durian runtuh tersebut. Maka, terjadinya konflik antara
minda yang belum bersedia dan tingkah lakunya.

Tulisan saya kali ini adalah berdasarkan kajian yang dilakukan
keatas orang-orang yang berjaya, tidak kira jutawan, ahli sukan,
personality atau ahli politik. Teknik yang sering digunakan dalam
menguasai minda di gelar NLP (Neuro linguistic programming).
Artikel ini menyentuh satu cara menguasai minda yang sering
digunakan dalam mempersedia dan mencapai apa sahaja kejayaan.

Fikiran manusia adalah sesuatu yang amat kompleks di mana ia
dikatakan manusia belum lagi menggunakan kuasa minda sepenuhnya.
Minda anda adalah sesuatu yang amat canggih sehingga tiada komputer
di dunia dapat berfungsi seperti minda anda. Bagaimanakah caranya
menggunakan kuasa minda untuk berjaya? Berikut adalah 5 langkah
untuk membangunkan minda jutawan...

Langkah 1: Penuhi fikiran anda dengan apa yang anda mahukan.

Ia dikatakan bahawa seseorang itu akan menjadi apa yang
difikirkannya pada kebanyakan masa. Apa yang anda sering fikirkan?
Usahawan yang berjaya sering memenuhi mindanya dengan kejayaan
berurusniaga. Ahli sukan yang berjaya sering memenuhi mindanya
dengan gambaran memenangi pingat.

Ahli sukan popular, Lance Armstrong pernah menghidap penyakit barah
yang amat serius sehinggakan para doktor menganggap beliau tidak
akan dapat meneruskan hidup. Lance Armstrong bukan sahaja
membuktikan beliau boleh pulih dari barah, tetapi dengan
menggunakan teknik memenuhi fikirannya dengan gambaran kejayaan
dalam bidang lumba basikal, Lance kemudiannya memenangi
pertandingan basikal yang paling sukar sekali, iaitu Tour de France
sebanyak 7 kali!

Dengan memenuhi minda anda dengan apa yang anda mahu, ianya akan
menjadi sebahagian dari minda separuh sedar anda sehingga minda
anda sendiri akan mendorong anda mencapai apa jua kejayaan.

Langkah 2: Sebutkan dengan jelas

Sebut dan luahkan secara verbal dengan jelas apa yang ada di minda
anda. Ini adalah kerana, dengan menyebut, minda akan berfungsi
dengan lebih sempurna. Teknik ini digelar teknik affirmation.
Teknik ini merupakan kata-kata yang membantu dalam membangunkan
diri sendiri. Affirmation yang paling popular digunakan di dunia
adalah:

"In every day and every way I am getting better and better".

"Setiap hari, dan setiap cara, saya menjadi insan yang semakin baik"

Ianya adalah penting untuk kata-kata anda adalah sesuatu yang
benar. Maksudnya, sekiranya setiap hari anda menjadi semakin malas,
maka, kata-kata itu tidak akan membantu, tetapi hanya akan
mengurangkan motivasi anda oleh kerana minda akan menemui konflik.

Sebagai contoh, sekiranya anda menyebut berulang kali "Saya akan
pergi ke Gym untuk bersenam dan menjadi semakin kuat", tetapi anda
hanya duduk di rumah dan bermain Playstation 2 anda 24jam sehari,
kata-kata affirmation tersebut tidak akan membantu anda. Malah,
ianya akan mengurangkan motivasi anda.

Apabila memberi affirmation, sebutkan yang benar sahaja seperti
"Saya kini tiada wang, saya perlu menyiapkan novel saya yang akan
membantu dalam kewangan saya!". Kemudian, terus ke komputer anda
dan mula kerjakan novel anda itu!


Langkah 3: Bayangkan anda berjaya mendapat apa yang anda inginkan

Dalam minda, anda perlu membayangkan masa hadapan di mana anda
dapat melihat bahawa anda telah mencapai kejayaan tersebut.
Sekiranya anda inginkan kemewahan, bayangkan dalam 10 tahun lagi
apa yang anda telah capai, mungkin rumah banglo 3 tingkat bersama
swimming pool dan 3 buah kereta mewah di garage. Sekiranya anda
seorang ahli sukan, maka bayangkan anda memenangi acara anda.
Berdiri di podium dan disarungi pingat emas.

Lebih jelas anda menggambarkan bahawa anda berjaya mendapat apa
yang anda ingini, maka, lebih hebat minda anda akan berfungsi untuk
mencapai cita-cita tersebut. Bayangkan suasana, waktu, warna, cuaca
dan sebagainya dengan jelas.

Lebih lama anda dapat menyimpan gambaran ini di dalam minda anda,
lebih hebat efeknya kepada anda. Simpan gambaran tersebut selama 1
minit... 5 minit... 10 minit dan sebagainya. Seorang pemain bola sepak
terkenal sebelum memulakan perlawanan bola sepak, menyimpan
gambaran kejayaannya di padang dalam kepalanya selama 90 minit-
iaitu jangka masa seluruh perlawanan!

Kekerapan anda menggabarkan ini juga akan membantu, di mana
sekiranya anda lebih kerap membayangkannya setiap hari, maka, ia
akan mudah menjadi untuk anda. Jangan lupa- anda akan menjadi apa
sahaja yang anda fikirkan pada kebanyakan masa.


Langkah 4: Masukkan emosi

Manusia adalah insan yang beremosi. Emosi digunakan untuk membakar
semangat anda dalam mencapai apa sahaja kejayaan. Dalam memikirkan
apa yang anda mahu, affirmation, dan juga membayangkan anda
mencapainya, masukkan unsur-unsur emosi di dalam kesemuanya.

Menurut Abraham Maslow, emosi adalah asas utama yang membentuk
hireraki keperluan Maslow. Bayangkan diri anda gembira, keluarga
anda gembira, teman-teman anda mengucapkan tahniah, seluruh suasana
di sekeliling anda yang gembira dengan pencapaian anda. Ketika
affirmation juga, luahkan dengan penuh semangat dan emosi oleh
ekrana ianya akan membantu anda.

Emosi dalam setiap langkah ini bagaikan minyak membakar motivasi
anda.

Langkah 5: Percaya dan yakin ini terjadi

Langkah terakhir, adalah dengan gambaran apa yang anda inginkan,
kata-kata affirmation yang bermakna, visual di dalam minda anda
telah mencapai apa yang anda inginkan bersama emosi yang membakar,
kesemuanya adalah tidak guna sekiranya anda tidak percaya dan yakin
anda akan berjaya.

Thursday, December 16, 2010

Hijrah: Keluar Dari Comfort Zone

Satu perkara yang paling sukar untuk kita lakukan ialah keluar dari rutin yang biasa kita lakukan. Kajian menunjukkan faktor usia memainkan peranan dalam menentukan keberhasilan seseorang di dalam menjejakkan kaki ke dunia bisnes ini. Saya yakin setiap orang mempunyai cita cita untuk bekerja sendiri atau memulakan bisnes sendiri.

Semalam semasa saya dalam proses untuk sign 'hire-purchase agreement' membeli Toyota Hiace untuk kegunaan syarikat, perunding dari bank tersebut sempat bertanya keadaan bisnes saya dan sebagainya. Saya pun menjawab seadanya. Akhirnya beliau menyatakan keinginannya untuk memulakan bisnes sendiri. Katanya, beliau sudah bosan dengan makan gaji, terpaksa berulang alik,kerja lebih masa dan sebagainya. Usianya dalam 31 tahun.

Pesan saya kepada dia, mulakan sekarang. Kebiasaannya, manusia apabila semakin meningkat umur, semakin takut dia untuk memulakan bisnes. Contohnya beliau sekarang, dengan anak yang semakin membesar dan keperluan yang semakin meningkat, keberanian untuk memulakan perniagaan semakin merosot. Kerana beliau tahu di dalam dunia perniagaan,tiada jaminan keuntungan. Berbeza dengan makan gaji,pendapatannya stabil.

Oleh itu,nasihat saya,pada mulanya jangan berhenti kerja dahulu. Buat bisnes secara part-time.Sekiranya tidak tahu untuk membuat bisnes apa, dia boleh mulakan dengan menjadi jurujual produk orang lain. Dia boleh menjadi agen takaful,atau jurujual produk Coway, jurujual produk MLM yang patuh syariah atau mencari produk produk lain dan membelinya secara borong sebelum menjualnya secara runcit.

Barangsiapa nak menjual produk saya, boleh ke www.borongquran.blogspot.com. Produk Alquran ialah produk evergreen. Ia produk yang sentiasa ada pembeli,insyaAllah. Jika tidak,anda boleh memborong kain di Jalan TAR, atau produk lain di GM Plaza. Bila kita sudah bermula sedikit, baru kita tahu potensi kita dan perniagaan kita.Sekiranya kita sudah boleh mengira kadar untung rugi dan yakin kita boleh support kehidupan kita seterusnya,ketika itu hendak berhenti kerja pun tidak mengapa.

Salah seorang pelanggan saya ialah seorang lecturer di universiti awam di Melaka. Beliau menceritakan beliau secara konsisten menjual 1500 kotak tablet habbatus sauda' sebulan dengan margin keuntungan 50%, saya congak2 sekitar RM6000. Beliau juga telah menjual 10,000 naskah buku Indahnya Hidup Bersyariat dengan keuntungan saya kira sekitar RM165,000 dalam tempoh setahun. Sekarang beliau menjual barangan saya dan pembeliannya juga konsisten.Saya tanya kepada beliau, kenapa tidak berhenti kerja dan fokus buat bisnes, katanya dia sayang melepaskan apa yang dia ada. Itu sahaja.

Keywordnya,kenal lingkaran sosial kita dan apa keperluan mereka. Kemudian, luaskan lagi lingkaran sosial kita dan memahami keperluan mereka pula. Contoh, sahabat saya dari bank tadi bergaul dengan orang pejabat, beliau boleh menjual produk takaful kepada mereka. Sebenarnya,banyak lagi produk yang boleh dijual. Akhirnya, kita kena berani untuk keluar dari comfort zone kita sebelum keberaniaan itu sudah habis kesemuanya akibat faktor usia.

Sedikit perkongsian dariUst Hasrizal:


“Mengapa kamu belum bernikah?” Baginda menyoal lagi.

“Aku fakir” pemuda itu memberikan jawapan yang sama.

“Mengapa kamu belum bernikah?” Baginda mengulang soalan yang sama buat kali yang ketiga.

Pemuda itu tidak berani mengulang jawapan yang sama.

“Ya Rasulallah. Aku memang mahu bernikah. Carikanlah buatku seorang isteri!” jawab anak muda itu.

“Kamu pergilah ke sebuah kampung di sana. Nyatakan kepada orang kampung itu bahawa Rasulullah menyuruh mereka mengahwinkan seorang anak gadis kampung itu denganmu” arah Rasulullah sallalaahu ‘alayhi wa sallam.

Pemuda itu pergi ke kampung tersebut, menyatakan mesej yang dibawanya kepada penduduk di situ. Dia kemudiannya kembali kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan sebuah persoalan.

“Aku tidak punya apa-apa untuk dijadikan mas kahwin” adu beliau.

“Carilah sebentuk cincin besi!” Baginda mengajar.

Sungguh unik. Seorang anak muda yang miskin, diperintahkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam supaya bernikah. Tidakkah nikah itu memerlukan perbelanjaan? Bukankah selepas nikah, lelaki fakir itu memikul tanggungjawab memberi nafkah. Apa yang mahu disumbat ke mulut isteri?

TELADAN


Kisah pemuda itu tidak harus dipandang mudah pada sekadar bermaksud gesaan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam agar bernikah.

Bagaimana Baginda berulang kali bertanya soalan yang sama mengapa beliau belum berkahwin? Jawapan yang diberi adalah kemiskinan. Tidak berkahwin dan miskin bukanlah masalah paling utama dalam situasi anak muda tersebut. Sebaliknya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam mahu menolak anak muda itu KELUAR DARI ZON SELESA beliau agar:

Usahakan mencari calon
Usahakan mas kahwin walaupun sekadar sebentuk cincin besi

Kata kuncinya, BERUSAHA.

Lelaki itu kelihatannya selesa dengan keadaan dirinya yang miskin. Benar sekali dalam hidup ini, ada yang lebih susah daripada susah, iaitu BERUBAH. Sehingga ada manusia yang lebih rela untuk terus hidup susah berbanding membuat perubahan. Di dalam kes anak muda ini, NIKAH menjadi DORONGAN untuk memaksa pemuda itu membuat perubahan. Usaha cari calon. Usaha dapatkan cincin besi. Pokoknya, kamu kena bangkit berusaha.

Demikianlah perkahwinan mampu mengubah ‘nasib’ seseorang. Jika semasa bujang dia boleh membiarkan dirinya miskin melarat, bekerja bila mahu dan berhenti kerja sesuka hati, pilihan itu tidak ada bagi seorang yang bernikah dan sedar akan tanggungjawabnya. Ada mulut yang mahu disuap, justeru dia tidak sewenang-wenang membuat keputusan mudah bekerja atau menganggur, sabar dengan karenah di tempat kerja atau berhenti.

Begitulah nikah mencetus perubahan diri.




Berani untuk berubah. Jika bukan anda siapa lagi,jika bukan sekarang,bila lagi.

Wallahua'lam