Thursday, July 22, 2010

Bakat Bisnes

Topik ini masih lagi menjadi perdebatan dikalangan pakar pakar perniagaan. Ada yang berpendapat bahawa berniaga adalah sebuah bentuk kemahiran. Maksudnya, semua orang dapat dilatih menguasai teknik teknik perniagaan. Ada pula yang berpendapat bahawa untuk berniaga kita perlukan bakat. Yang mana, bakat ini tidak dimiliki oleh semua orang. Sepertimana tidak semua orang boleh berpidato, tidak semua orang boleh berpolitik atau tidak semua orang boleh bersukan. Begitu juga dengan dunia bisnes, tidak semua orang boleh berbisnes.

Bagi saya, kedua duanya betul. Seseorang yang tidak memiliki bakat perniagaan, sekiranya dilatih dengan baik, dia mampu menjadi seorang usahawan yang berjaya. Tetapi pasti dia ada limitation tersendiri dan langkahnya dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Manakala usahawan yang memang mempunyai bakat semulajadi, langkahnya mudah dan perkembangannya cepat. Segala strategi perniagaannya menjadi, sangat sedikit yang tersasar. Makanya, pada menurut saya, semua orang boleh berniaga. Yang membezakannya adalah, ada yang menyinar, ada yang sederhana, ada yang biasa biasa sahaja. Mungkin Irfan Khairi, Iemoto Kentaro, Adam Khoo atau Fangki Hertati tergolong dalam golongan berbakat. Mereka menjadi jutawan di usia muda.

Semasa saya di Tingkatan 4, saya aktif bermain ragbi. Pertama kali saya menyentuh bola ragbi adalah ketika itu. Alhamdulillah, dalam masa 3 bulan, saya sudah mewakili sekolah untuk pertandingan peringkat daerah dan SBP. Saya mungkin ada sedikit bakat. Tetapi, saya juga ada seorang kawan yang aktif bermain bola sepak. Pernah sekali semasa latihan, oleh kerana kekurangan pemain, beliau dijemput untuk memenuhi kekosongan. Akhirnya, ketika perlawanan latihan berlangsung, beliau menjadi man of the match sedangkan itulah kali pertama beliau bermain. Memang, dia berbakat besar. Dunia perniagaan juga begitu. Kita akan lihat ada sahaja bintang yang tiba tiba bersinar, dan sinarannya mengelabui bintang bintang yang lain.

Bakat bisnes mungkin boleh diukur melalui genetik. Lihat di sekeliling kita. Adakah kita memiliki saudara mara yang berjaya di dalam bisnes? Sekiranya kita memiliki ibu bapa atau saudara yang berjaya di dalam bisnes, insyaAllah peluang kita untuk berjaya di dalam bisnes juga tinggi. Hakikatnya, apabila kita dibesarkan dengan suasana yang dekat dengan dunia bisnes, pemikirannya akan masuk ke dalam jiwa kita dan akhirnya membentuk diri kita ke arah menjadi usahawan yang berjaya.

Saya ada bersahabat dengan salah seorang yang terkaya di Kota Bandung, Indonesia. Saya berkesempatan bersama beliau menjemput anaknya yang berusia 9 tahun pulang dari sekolah. Di dalam kenderaan, selepas bertanya khabar dengan ayahnya, si anak mengeluarkan buku 'The Cash-Flow Quadrant' karangan Robert T Kiyosaki. Takjubnya saya. Pada usia 9 tahun sudah gemar membaca buku berkaitan dunia bisnes. Dan saya yakin, dia akan menjadi usahawan yang berjaya, bahkan melebihi kejayaan bapanya.

Bakat keusahawanan menurut Puan Ainon Mohd di dalam bukunya 'Memulakan Bisnes Sendiri' terbahagi kepada dua. Yang pertama disebut enterpreneur manakala yang kedua disebut intrapreneur. Kedua dua bakat ini berbeza. Mereka yang memiliki bakat enterpreneur berkebolehan memula dan memimpin bisnesnya sendiri.

Intrapreneur pula adalah pengurus pengurus kanan atau CEO syarikat yang mempunyai bakat mengembang bisnes milik majikannya. Strategi bisnes yang mereka lakukan mampu mengembangkan bisnes majikannya ke satu tahap yang lain. Ramai intrapreneur yang tidak memahami perbezaan kedua dua bakat tersebut. Akibatnya, oleh kerana mereka berjaya mengembangkan bisnes majikannya, mereka berhenti kerja dan memulakan bisnes sendiri. Terbukti apabila mereka mula melakukan bisnes sendiri, mereka menghadapi pelbagai masalah dan akhirnya terpaksa menutup perniagaan. Tetapi saya yakin tidak semua begitu. Ada sahaja intrapreneur berjaya menjadi enterpreneur.

Tetapi, untuk mengetahui kita berbakat atau tidak, kita perlu bermula. Sudahkah kita?

Monday, July 12, 2010

Motivasi Diri


  • The least important word: “I”
  • The one most important word: “We”
  • The two most important words: “Thank you,”
  • The three most important words: “If you please.”
  • The four most important words: “What is your opinion.”
  • The five most important words: “You did a good job.”
  • The six most important words: “I admit I made a mistake.”

Sunday, July 11, 2010

Bagaimana saya bermula? (1)

Bagaimana saya bermula?

Saya pun dah tidak ingat awalnya bagaimana. Saya dilahirkan dan dibesarkan di sebuah Felda yang terletak di kawasan Triang, Pahang. Otak saya masih menangkap sedikit gambaran akan kehidupan saya masih kecil. Pada awalnya, jalan raya masih tidak berturap, bekalan air tiada, yang ada hanyalah pam air telaga yang dikongsi beramai ramai, begitu juga dengan bekalan elektrik. Apabila saya bertanya kepada ibu saya, dia kata ketika itu umur saya sekitar2 tahun.

Kemudian, keadaan mula membaik. Elektrik sudah sampai ke kawasan rumah saya. Bekalan air juga sudah terus sampai ke dalam rumah. Tetapi ketika itu pendapatan peneroka Felda tidak besar. Pernah ayah saya ceritakan, hasil penjualan kelapa sawit yang ada kemudiannya harus ditolak dengan bayaran ansuran tanah ladang ke felda, begitu juga hutang D'Mart (koperasi Felda), akhirnya berbaki RM 7 sahaja. Alhamdulillah, ayah saya ialah orang yang rajin bekerja. Beliau mengambil upah menjadi buruh binaan, menguruskan ladang Cina dan segala bentuk kerja yang lain.

Saya juga sering mengikuti ayah saya ke dalam hutan untuk menimba ikan. Anak sungai di empang depan dan belakang, menggunakan timba yang ada, airnya dibuang keluar. Apabila air sudah surut, ikan di sauk dan alhamdulillah, hasilnya boleh tahan. Ikan segar disimpan untuk beberapa hari, manakala bakinya dibuat pekasam. Cukuplah untuk menjadi lauk kami selama sebulan. Pengalaman saya yang paling indah ialah apabila kami memakan nasi berlaukkan ikan pekasam dan berkuahkan air teh. Rasanya masih segar sampai sekarang. Menikmati juadah ketika lapar dan bersyukur beserta redha terhadap rezeki yang telah Allah tetapkan, adalah sebuah bentuk kenikmatan yang tiada tandingnya.

Berkat kemahiran ibu saya menyimpan wang, kami mampu untuk memberi duit muka bernilai RM 100 untuk membeli peti ais satu pintu jenama Singer. Ketika itu, di kawasan kejiranan kami, kamilah yang pertama memilikinya. Tidak dapat saya gambarkan tahap kegembiraan kami ketika itu. Kami sekeluarga duduk termenung lama memerhati peti ais yang baru kami miliki. Peti ais itu pun digunakan. Tetapi tidak lama selepas itu, saya melihat ibu saya mula membuat ais krim batang. Pelbagai perisa ada, perisa milo, kacang hijau, sirap, oren, cendol, jagung dan pelbagai lagi. Saya sangat teruja. Esoknya seawal pagi saya meminta ais krim kepada ibu saya. Sambil tersenyum ibu saya berpesan, "Arul makan dekat luar dengan kawan kawan ya. Beritahu mereka yang kita ada jual ais krim. 10 sen satu".

Tanpa berlengah lagi, saya pun memberitahu rakan rakan ketika itu. Dengan cepat, berita itu tersebar. Setiap masa ada sahaja pelanggan terdiri dari kanak kanak mengetuk pintu rumah untuk membeli ais krim. Ada yang baru pulang dari sekolah, ada yang baru habis bermain dan ada juga yang curi curi duit ibu bapa mereka yang sedang tidur di tengahari untuk membeli ais krim. Saya juga masih teringat kakak saya yang pertama dibekalkan oleh ibu saya dengan ais krim untuk dijual di sekolah agama. Pergi dengan 20 batang, pulang dengan bekas yang kosong, berbekal duit RM2. Tidak lama selepas itu, ibu saya mula membuat kerepek. Kerepek gunting biasa, bersira, sagun, rempeyek dan berbagai kerepek yang lain. Alhamdulillah sambutan juga menggalakkan.

Tidak lama kemudian, di suatu senja, saya nampak ayah saya sedang sibuk bertukang. Membuat 'push-cart'. Saya bertanya "abah nak buat apa?", abah kata kami nak berniaga ais campur dan cendol di hadapan rumah. Berkat simpanan wang kami, kami membeli mesin pengisar ais second-hand bernila RM 50 ketika itu. Sambutannya luar biasa menggalakkan. Peladang peladang yang pulang dari mengusahakan tanaman pasti akan singgah. Ais campur dan cendol mangkuk kecil RM 0.30 sen, mangkuk besar RM 0.50 sen. Kakak saya yang pertama ketika itu baru masuk ke sekolah menengah. Pulang sahaja dari sekolah, tanpa sempat menukar baju, kakak saya terus membantu ibu yang keseorangan melayan pelanggan yang inginkan ais campur. Ayah saya ketika itu masih lagi membuat kerja kerja buruh bagi menampung kehidupan keluarga. Manakala abang saya yang sulung duduk di asrama Sek Sultan Ahmad Shah, Kuantan (SEMSAS).

Dalam beberapa bulan, abah mula membeli simen dan papan untuk dibuat warung. Design nya sangat mudah. Dapur, bumbung, lantai di simen, tanpa dinding, makanya tak perlukan kipas. Warung itu sangat kecil pada mulanya. Hanya boleh memuatkan 2 meja. Pelbagai juadah disediakan. Pada waktu pagi ibu menjual nasi lemak, lauknya ikan bilis, ayam sambal dan ayam goreng. Pada waktu tengahari sampai malam, masakan panas disediakan. Hari pertama jualan bernilai RM80. Dan pelanggan kami yang pertama ialah Pak Cik Salleh, jiran depan rumah yang memesan air teh panas bernilai RM 0.50 sen ketika itu.

Hari demi hari berlalu, pelbagai menu baru disediakan. Ibu dengan bersungguh belajar membuat roti canai dan nasi ayam. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Warung dibesarkan. Ibu dan ayah saya bekerja seawal 4 pagi dan balik ke rumah lewat 12 malam. Setiap hari tanpa cuti. Kakak saya yang pertama dan kedua setia membantu ibu di dapur warung. Saya dan adik ketika itu masih lagi kecil dan sibuk bermain sahaja.

Kehidupan kami mula membaik. Pernah jualan kami mencecah RM 700 satu hari. Ibu saya terus menyimpan wang. Ketika saya mahu menjejakkan kaki ke sekolah menengah, ayah dan abang sulung saya, pergi ke Klang untuk membeli kereta Proton Saga tahun 1985 dengan duit muka bernilai RM 10000. Sampai sahaja kereta ke rumah, ibu, saya dan adik beradik yang lain terus menerpa untuk naik. Saya nampak air mata abang saya mengalir. Dia kata dia tak sangka kami dah ada kereta. Dia masih ingat zaman persekolahan dia dahulu. Pergi sekolah tiada bekalan duit, apabila terasa lapar dia pergi minum air paip sekolah. Mungkin sebab itu dia menjadi pelajar terbaik di situ.

Saya rasa pengalaman ini adalah permulaan kepada dunia perniagaan saya, dan juga abang saya. Beliau sekarang adalah CEO kepada 4 buah syarikat dan juga memiliki dua syarikat yang lain. Dia mungkin sudah mencapai tahap kekayaan yang kedua, mungkin yang ketiga. Umur beliau sekarang 37 tahun.

p/s: rupanya saya sudah dididik menjadi usahawan semasa kecil lagi.

Thursday, July 8, 2010

Apakah status kewangan anda?

Satu soalan cepu emas. Anda berada di level mana? Adakah anda sudah termasuk golongan orang kaya atau golongan yang terasa kaya? Atau anda adalah golongan yang sederhana, maknanya tidak susah dan tidak senang, tengah-tengah, atau anda tergolong dalam golongan miskin?

Sebelum ini, saya tidak memahami apakah status kewangan saya. Saya hanya melihat pada jumlah wang saya yang keluar masuk setiap bulan. Apatah lagi, saya mempunyai 2 syarikat perniagaan yang boleh saya katakan sedang berkembang baik. Tetapi, persepsi saya berubah sama sekali apabila saya membaca salah satu buku yang saya sendiri jual.

Kebetulan ketika itu pekerja saya sedang bercuti, saya terpaksa menjaga booth buku saya yang dibuka di Giant Prima Saujana, Kajang. Oleh kerana bosan menunggu, saya mengambil satu buku yang bertajuk Bagaimana Saya Menjadi Jutawan oleh Adam Khoo. Buku ini sangat menginspirasikan.

Adam Khoo telah menggariskan 4 jenis kekayaan. Di antaranya:

1) Kestabilan Kewangan

Tahap kestabilan adalah tahap pertama di alam konteks ukuran kekayaan. Pada tahap ini, anda sudah memiliki kedudukan kewangan yang stabil. Maksud kewangan yang stabil ialah, anda masih boleh menyara kehidupan anda selama 6 bulan jika anda berhenti kerja pada waktu ini. Pendek kata, jika perbelanjaan anda sebulan ialah RM2,000… dan anda sudah mempunyai simpanan sebanyak RM12,000. Maka anda sudah mencapai tahap pertama kekayaan ini, iaitu, kestabilan.

2) Keselamatan Kewangan

Pada tahap ini pula, anda sudah mempunyai nilai aliran tunai yang positif yang dapat menampung perbelanjaan keperluan asas kehidupan anda. Pendek kata, anda sudah boleh berhenti kerja dan pendapatan pasif income anda sudah boleh menampung gaya hidup anda yang asas. Tetapi jika anda tidak mahu berhenti kerja, hasil pendapatan daripada perkerjaan makan gaji anda itu, anda boleh gunakan untuk menambahkan lagi portfolio pelaburan anda yang seterusnya akan membesarkan lagi nilai “cash flow” bulanan anda.

3) Kebebasan Kewangan

Kita sering mendengar perkataan “kebebasan kewangan”.. tetapi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kebebasan kewangan?. Menurut Adam khoo, anda mencapai tahap kebebasan kewangan apabila, pasif income yang terhasil daripada aset serta pelaburan anda.. mampu menampung perbelanjaan gaya hidup anda “pada masa kini”. Sudah tentunya, ianya agak subjektif.. setiap orang mempunyai definasi yang berbeza tentang definisi “Gaya Hidup Masa Kini”. Walau apa-apa pun, pada tahap ini anda sudah boleh berhenti kerja dan hidup dengan kehidupan anda yang sederhana pada masa kini (berbanding pada tahap “keselematan kewangan”, anda hanya boleh hidup pada tahap yang asas-asas sahaja.

4) Rezeki Melimpah-ruah (Financial Abundance = Kelimpahan Kewangan?)

Di tahap ini… anda sudah boleh berhenti kerja dan goyang kaki dirumah sahaja… anda kini hidup di dalam gaya kehidupan yang anda idam-idamkan. Anda boleh membayangkan pelbagai bentuk kemewahan yang mampu anda miliki dengan mencapai tahap ini.

Tapi, pada kebiasaannya, orang yang sudah mencapai tahap ini, jarang sekali berhenti kerja dan hanya duduk rileks-rileks goyang kaki. Mereka akan terus bekerja.. tetapi, mereka bekerja bukan kerana duit. Tapi kerana mereka memang minat melakukan perkara tersebut.

Bagaimana? Apakah status kewangan anda? Adakah anda peduli? Atau anda termasuk orang yang membiarkan dunia menentukan arus kehidupannya.

Saya mensasarkan kebebasan kewangan saya sebelum saya berusia 30 tahun. Anda bagaimana?

Buku ini adalah saranan saya untuk di baca:

Sila klik -->>DI SINI<<----untuk membeli buku di atas.