Sunday, July 11, 2010

Bagaimana saya bermula? (1)

Bagaimana saya bermula?

Saya pun dah tidak ingat awalnya bagaimana. Saya dilahirkan dan dibesarkan di sebuah Felda yang terletak di kawasan Triang, Pahang. Otak saya masih menangkap sedikit gambaran akan kehidupan saya masih kecil. Pada awalnya, jalan raya masih tidak berturap, bekalan air tiada, yang ada hanyalah pam air telaga yang dikongsi beramai ramai, begitu juga dengan bekalan elektrik. Apabila saya bertanya kepada ibu saya, dia kata ketika itu umur saya sekitar2 tahun.

Kemudian, keadaan mula membaik. Elektrik sudah sampai ke kawasan rumah saya. Bekalan air juga sudah terus sampai ke dalam rumah. Tetapi ketika itu pendapatan peneroka Felda tidak besar. Pernah ayah saya ceritakan, hasil penjualan kelapa sawit yang ada kemudiannya harus ditolak dengan bayaran ansuran tanah ladang ke felda, begitu juga hutang D'Mart (koperasi Felda), akhirnya berbaki RM 7 sahaja. Alhamdulillah, ayah saya ialah orang yang rajin bekerja. Beliau mengambil upah menjadi buruh binaan, menguruskan ladang Cina dan segala bentuk kerja yang lain.

Saya juga sering mengikuti ayah saya ke dalam hutan untuk menimba ikan. Anak sungai di empang depan dan belakang, menggunakan timba yang ada, airnya dibuang keluar. Apabila air sudah surut, ikan di sauk dan alhamdulillah, hasilnya boleh tahan. Ikan segar disimpan untuk beberapa hari, manakala bakinya dibuat pekasam. Cukuplah untuk menjadi lauk kami selama sebulan. Pengalaman saya yang paling indah ialah apabila kami memakan nasi berlaukkan ikan pekasam dan berkuahkan air teh. Rasanya masih segar sampai sekarang. Menikmati juadah ketika lapar dan bersyukur beserta redha terhadap rezeki yang telah Allah tetapkan, adalah sebuah bentuk kenikmatan yang tiada tandingnya.

Berkat kemahiran ibu saya menyimpan wang, kami mampu untuk memberi duit muka bernilai RM 100 untuk membeli peti ais satu pintu jenama Singer. Ketika itu, di kawasan kejiranan kami, kamilah yang pertama memilikinya. Tidak dapat saya gambarkan tahap kegembiraan kami ketika itu. Kami sekeluarga duduk termenung lama memerhati peti ais yang baru kami miliki. Peti ais itu pun digunakan. Tetapi tidak lama selepas itu, saya melihat ibu saya mula membuat ais krim batang. Pelbagai perisa ada, perisa milo, kacang hijau, sirap, oren, cendol, jagung dan pelbagai lagi. Saya sangat teruja. Esoknya seawal pagi saya meminta ais krim kepada ibu saya. Sambil tersenyum ibu saya berpesan, "Arul makan dekat luar dengan kawan kawan ya. Beritahu mereka yang kita ada jual ais krim. 10 sen satu".

Tanpa berlengah lagi, saya pun memberitahu rakan rakan ketika itu. Dengan cepat, berita itu tersebar. Setiap masa ada sahaja pelanggan terdiri dari kanak kanak mengetuk pintu rumah untuk membeli ais krim. Ada yang baru pulang dari sekolah, ada yang baru habis bermain dan ada juga yang curi curi duit ibu bapa mereka yang sedang tidur di tengahari untuk membeli ais krim. Saya juga masih teringat kakak saya yang pertama dibekalkan oleh ibu saya dengan ais krim untuk dijual di sekolah agama. Pergi dengan 20 batang, pulang dengan bekas yang kosong, berbekal duit RM2. Tidak lama selepas itu, ibu saya mula membuat kerepek. Kerepek gunting biasa, bersira, sagun, rempeyek dan berbagai kerepek yang lain. Alhamdulillah sambutan juga menggalakkan.

Tidak lama kemudian, di suatu senja, saya nampak ayah saya sedang sibuk bertukang. Membuat 'push-cart'. Saya bertanya "abah nak buat apa?", abah kata kami nak berniaga ais campur dan cendol di hadapan rumah. Berkat simpanan wang kami, kami membeli mesin pengisar ais second-hand bernila RM 50 ketika itu. Sambutannya luar biasa menggalakkan. Peladang peladang yang pulang dari mengusahakan tanaman pasti akan singgah. Ais campur dan cendol mangkuk kecil RM 0.30 sen, mangkuk besar RM 0.50 sen. Kakak saya yang pertama ketika itu baru masuk ke sekolah menengah. Pulang sahaja dari sekolah, tanpa sempat menukar baju, kakak saya terus membantu ibu yang keseorangan melayan pelanggan yang inginkan ais campur. Ayah saya ketika itu masih lagi membuat kerja kerja buruh bagi menampung kehidupan keluarga. Manakala abang saya yang sulung duduk di asrama Sek Sultan Ahmad Shah, Kuantan (SEMSAS).

Dalam beberapa bulan, abah mula membeli simen dan papan untuk dibuat warung. Design nya sangat mudah. Dapur, bumbung, lantai di simen, tanpa dinding, makanya tak perlukan kipas. Warung itu sangat kecil pada mulanya. Hanya boleh memuatkan 2 meja. Pelbagai juadah disediakan. Pada waktu pagi ibu menjual nasi lemak, lauknya ikan bilis, ayam sambal dan ayam goreng. Pada waktu tengahari sampai malam, masakan panas disediakan. Hari pertama jualan bernilai RM80. Dan pelanggan kami yang pertama ialah Pak Cik Salleh, jiran depan rumah yang memesan air teh panas bernilai RM 0.50 sen ketika itu.

Hari demi hari berlalu, pelbagai menu baru disediakan. Ibu dengan bersungguh belajar membuat roti canai dan nasi ayam. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Warung dibesarkan. Ibu dan ayah saya bekerja seawal 4 pagi dan balik ke rumah lewat 12 malam. Setiap hari tanpa cuti. Kakak saya yang pertama dan kedua setia membantu ibu di dapur warung. Saya dan adik ketika itu masih lagi kecil dan sibuk bermain sahaja.

Kehidupan kami mula membaik. Pernah jualan kami mencecah RM 700 satu hari. Ibu saya terus menyimpan wang. Ketika saya mahu menjejakkan kaki ke sekolah menengah, ayah dan abang sulung saya, pergi ke Klang untuk membeli kereta Proton Saga tahun 1985 dengan duit muka bernilai RM 10000. Sampai sahaja kereta ke rumah, ibu, saya dan adik beradik yang lain terus menerpa untuk naik. Saya nampak air mata abang saya mengalir. Dia kata dia tak sangka kami dah ada kereta. Dia masih ingat zaman persekolahan dia dahulu. Pergi sekolah tiada bekalan duit, apabila terasa lapar dia pergi minum air paip sekolah. Mungkin sebab itu dia menjadi pelajar terbaik di situ.

Saya rasa pengalaman ini adalah permulaan kepada dunia perniagaan saya, dan juga abang saya. Beliau sekarang adalah CEO kepada 4 buah syarikat dan juga memiliki dua syarikat yang lain. Dia mungkin sudah mencapai tahap kekayaan yang kedua, mungkin yang ketiga. Umur beliau sekarang 37 tahun.

p/s: rupanya saya sudah dididik menjadi usahawan semasa kecil lagi.

3 comments:

  1. ooo... patutlah sedap masakan maknya.

    ReplyDelete
  2. best la ipin..I like!seronok dgr ramai org melayu berbisnes..

    ReplyDelete
  3. hmm... bgus entrinye...

    kdg2 terfikir kenapa perkara yang baik ni dianggp buruk masyarakat skarang... mungkin pada mereka bisnes ini hanya utk org yang terpaksa buat macam zaman dulu... nak hidup kene berusaha lebih, kerja lebih, buat bisnes, buat ni, buat tu...

    i admired a person like u... sama2 berjuang dalam bidang biz.. berjumpa kita d angkasa kejayaan!!

    sedikit quote dari Chris Garner dlm persuit of happiness:
    "Hey, don't ever let somebody tell you, you can't do something. Not even me. All right? You got a dream, you gotta protect it. People can't do themselves, they wanna tell you, you can't do it. You want something, go and get it."

    ana tambah, make sure it is according to the syarak.

    ReplyDelete