Wednesday, December 15, 2010

Anak dan Rezeki

Alhamdulillah,isteri saya mengandung lagi. Anak ke empat kami. InsyaAllah dalam pertengahan tahun hadapan, si kecil akan lahir ke dunia. Saya rasa sangat bersyukur pada Allah swt kerana mengurniakan kami anak anak yang sihat dan mudah mudahan soleh dan musleh. Pada tahun hadapan, saya dan isteri masing masing akan berganjak ke usia 27 tahun. Dibawa bersama portfolio empat orang anak, berkat kahwin semasa kuliah. Hehe.

Apa yang pasti bagi kehidupan saya, bertambahnya anak bermaksud bertambahnya rezeki saya. Setiap manusia yang lahir ke dunia ada rezeki masing masing. Masa saya bujang, saya hanya ada 1 pintu rezeki,sekarang ditambah seorang isteri, 4 orang anak, maka saya ada 6 pintu rezeki. Alhamdulillah.

Semasa saya mendapat anak pertama kami, Aisyah al-Humaira pada tahun 2006 ketika itu saya hanya menjual hotdog, kerepek, dadih di sekitar kampus sahaja. Cukuplah untuk kami hidup seadanya. Ayah menghadiahkan kereta Proton Saga tahun 1985 beliau untuk kegunaan kami. Hidup memang seadanya.

Kemudian,pada penghujung 2007,anak kedua kami lahir. Muhammad al-Amin. Ketika itu saya baru menceburkan diri di dalam bisnes menjual buku. Oleh kerana pada ketika itu industri buku Malaysia masih belum berkembang, saya memilih untuk mengambil buku buku dari Indonesia. Ketika itu saya memang mengenali kelompok sasaran yang memerlukan buku buku dari Indonesia. Saya mencari no kontak penjual buku di Indonesia dan meminta mereka menghantarkan katalog buku kepada saya. Dengan katalog buku tersebut, saya menyebarkannya kepada rangkaian saya, dan alhamdulillah sale pertama saya sekitar RM9000 dengan margin keuntungan yang besar. Dengan bekal tawakkal kepada Allah, saya membuat pasport dan berangkat ke Indonesia untuk menguruskan proses penghantaran. Alhamdulillah semua berjalan lancar. Kehidupan pun semakin membaik. Saya sudah boleh membantu teman teman yang memerlukan bantuan kewangan.

Pada Mac 2009, anak ketiga saya lahir. Uwais al-Qarny. Pada bulan berikutnya, saya mempelawa teman baik saya, Saudara Fakrur Radzi untuk menjadi rakan kongsi dengan suntikan modal sekitar RM15,000 kepada syarikat yang kami daftarkan bersama iaitu Humaira Bookstore Enterprise. Bermula dari tanggal itu, jualan syarikat meningkat berkali ganda. Pengurusan semakin profesional dan bisnes sudah mula berkembang ke cabang cabang yang lain. Sekarang selepas setahun berdaftar,HBE sudah memiliki kedai di Giant Prima Saujana Kajang, beberapa tapak niaga di pasaraya besar yang lain, pekerja tetap seramai 5 orang, ofis di Taman Tenaga, Van Toyota Hiace untuk mengangkut barang dan pelbagai lagi projek yang bakal diadakan.Alhamdulillah. Bak kata orang, rezeki anak anak.

Pada tahun hadapan, Saudara Fakrur akan menerima cahaya mata sulung dan saya akan menerima anak ke empat. Berganda ganda rezekinya insyaAllah. Masa saya mula mula berniaga hotdog dan lain lain, saya pernah berkata kepada isteri saya, insyaAllah saya akan jadi jutawan sebelum umur saya 30 tahun dan akan menjadi antara terkaya di Malaysia pada usia saya 40 tahun. Isteri saya hanya tertawa tidak percaya. Yelah, baru berniaga hotdog dah berangan jadi jutawan. Tetapi,itulah keyakinan saya dan cara berfikir saya. Sekecil apa pun bisnes yang dibuat, minda mestilah minda jutawan. Orang jual burger pun boleh jadi jutawan macam tokey Otai Burger, ye tak?

Saya memohon doa anda semua agar saya dikurniakan anak yang soleh lagi musleh yang akan menjadi penyejuk mata bagi saya, dan mudah mudahan impian saya menjadi kenyataan. Saya memohon doa agar saya terus beriman kepada Allah dan RasulNya kerana Rasulullah pernah bersabda:

"Sebaik baik harta ialah harta yang dimiliki oleh orang yang beriman"

3 comments:

  1. insyaallah, moga impian jadi kenyataan..

    sesungguhnya pengalaman yg lebih kurang sama dialami oleh ana, cuma ana masih diawal fasa berkeluarga, dan ana sangat yakin bahawa Allah akan membantu hambaNya yg ingin berubah kepada yg lebih baik.

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah...

    Positive thinking, memandang harta dengan pandangan yang benar, husnu zhan dengan Allah, adalah ramuan kejayaan.

    Law of Attraction.

    Betulkan persepsi. Sekiranya anak dipandang sebagai beban, maka ia akan menjadi beban. Sekiranya dipandang sebagai rezeki,insyaAllah ia adalah rezeki

    ReplyDelete
  3. amin... semoga tahun baru ini lebih gencar dan tersusun...

    "successful people leaves their mark behind..."

    so.. just follow ..

    ReplyDelete