Saturday, October 9, 2010

Mengapa Anda Mahu Menjadi Usahawan?

Semasa saya sedang menjalani latihan industry di Kuantan (2005), saya menghadiri sebuah seminar keusahawanan yang dianjurkan oleh Dr Aziz Azimullah Azimuth. Kursus berlangsung satu hari dari pagi ke petang. Pada sebelah paginya, beliau banyak menekankan tentang aspek aspek yang diperlukan untuk menjadi seorang usahan yang berjaya. Pada sebelah petangnya, beliau menceritakan system bisnes beliau, dan mengajak audiens untuk menyertainya.

Pada ketika itu saya tidak berminat dengan system bisnes beliau, saya pun tidak tahu mengapa. Tetapi apa yang pasti saya mendapat input input yang sangat berguna untuk masa depan saya sebagai seorang usahawan.
Permulaannya, beliau mohon para audiens untuk bertanya pada diri sendiri, mengapa mahu menjadi usahawan. Kata beliau, sekiranya kita mahu menjadi usahawan kerana kita mahu menjadi kaya, memiliki rumah besar, kereta mewah, gaya hidup yang luar biasa, maka perjalanan kita di dalam dunia bisnes ini TIDAK LAMA. Kerana untuk menjadi kaya bukanlah sesuatu yang mudah. Terlalu banyak kegagalan yang akhirnya boleh menyebabkan orang berputus asa di dalam dunia perniagaan.

Tetapi sekiranya kita menceburi dunia bisnes kerana untuk menyara diri dan keluarga, untuk memberi jaminan kehidupan kepada yang tersayang, untuk meningkatkan taraf hidup dan seterusnya bagi melaksanankan tanggungjawab yang diberi Allah, makanya usia kita di dalam bisnes akan panjang. Kerana segala sebab yang disebutkan tadi adalah ULTIMATE MOTIVATION yang akan sentiasa menggerakkan orang untuk tidak berputus asa. Walaupun kita akan berhadapan dengan pelbagai cabaran, segala sebab yang di atas akan menggerakkan jasad dan fikiran kita untuk mengatasinya. Dan insyaAllah kekayaan itu akan datang dengan sendiri pada kemudian hari.

Saya melihat kembali kepada perjalanan hidup saya di alam bisnes. Semuanya kerana sebab sebab di atas. Pada awalnya, saya tidak pernah terlintas mengimpikan kekayaan atau kemewahan, apa yang saya perjuangkan ialah mencari rezeki yang halal untuk diberi kepada anak dan juga isteri. Itu sahaja. Sedari dari awal, dengan hanya berjualan hot dog dan burger dari bilik ke bilik sekitar kampus, niat saya hanyalah untuk mencari duit supaya boleh membeli makanan dan keperluan bagi keluarga saya. Ketika mana keperluan semakin mendesak, otak saya ligat berputar tentang cara bagaimana mahu menambahkan pendapatan. Ketika itulah, datang pelbagai idea idea bisnes dan Alhamdulillah saya sentiasa dapat mengatasi halangannya. Kerana bagi saya, jika saya tidak bekerja, siapa yang akan memberi makan anak dan isteri saya? Dengan itu saya tidak pernah berputus asa.

Maka, perbetulkan niat kita dari seawalnya. Atas sebab apa yang kita mahu menceburi bidang perniagaan? Untuk menjadi kaya bukanlah sesuatu yang mudah. Sekiranya mudah, pasti kita tidak akan melihat ada orang yang kemiskinan di muka bumi ini. Pastinya jumlah mereka akan menjadi majority. Tetapi hakikatnya, di Malaysia ini golongan golongan berpendapatan tinggi hanyalah sekitar 7% ke 10% sahaja. Yang selebihnya pada aras sederhana dan rendah.

Selepas Dr Azimuth meminta kami untuk membetulkan niat, beliau menyebutkan TIGA KATA KUNCI bagi seorang usahawan yang berjaya. InsyaAllah akan saya ceritakan pada entry yang akan datang. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment